Tuesday, March 1, 2011

MUHYIDDIN TIRU BUKU JINGGA

Jasin : Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin cuba meniru buku jingga Pakatan Rakyat, apabila berjanji memberi ganjaran Anugerah Tawaran Baru serta-merta sebanyak RM7,500 seorang kepada 586 guru besar  yang mencapai prestasi cemerlang dalam membangunkan kualiti murid dan sekolah.

Pemberian itu melibatkan peruntukan sebanyak RM18.4 juta. Skim baru ini sebahagian daripada dana RM2.492 bilion yang disalurkan kepada sekolah dan jabatan-jabatan pelajaran di seluruh negara.

"Pengumuman ini dibuat sebagai langkah untuk menarik sokongan warga pendidik di negara ini, khususnya sempena pilihanraya kecil Merlimau dan pilihanraya umum akan datang"kata Ustaz Idris.

Kenyataan tersebut dibuat pada sidang akhbar Pakatan Rakyat di Markaz PAS PRK Merlimau di Taman Muhibbah, Merlimau dekat sini pagi ini.

Seramai 12,141 guru yang mencatat prestasi serupa di semua sekolah berkenaan turut menikmati ganjaran RM1,800 seorang, manakala guru selebihnya menerima RM900 seorang.

Menurut Ustaz Idris keputusan ini dibuat sebagai langkah untuk menarik sokongan warga pendidik di negara ini, khususnya sempena pilihanraya kecil Merlimau dan pilihanraya umum akan datang.

"Muhyiddin adalah orang yang paling lantang mengkritik PR mengenai janji 100 hari PR dalam Buku Jingga yang akan memberi RM500  sebulan elaun khas  kepada guru-guru. Sehingga mengatakan bahawa ini akan membawa implikasi kewangan negara dan mencabar supaya negeri PR menaikkan gaji guru di negeri PR."

"Sedikit kelainan dengan janji 100 hari PR ialah melibatkan hampir 500,000 guru, sedangkan janji kerajaan BN hanya melibatkan sebahagian kecil  komuniti guru-guru" tambah Ustaz Idris.

"Pas merasa bangga idea yang baik ini sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan walaupun tidak secara keseluruhan. Rakyat akan beruntung sekiranya parti kerajaan mempunyai saingan yang kuat dalam politik. Maka sudah semestinya mereka akan mengikut rentak saingan mereka, contohnya anugerah kepada guru besar."

Ustaz Idris berkata pengundi yang terdiri dari pelbagai latarbelakang di Dewan Undangan Negeri Merlimau perlu mempunyai seorang wakil pembangkang yang kuat, barulah pembangunan akan mencurah-curah seperti di bandar-bandar besar yang di wakili oleh parti pembangkang.

0 comments:

Post a Comment