Tuesday, February 22, 2011

MERLIMAU:NEGERI MAJU RUMAH MASIH TAK ADA BEKALAN AIR DAN ELEKTRIK

Cukup gah pada  10.10.2010 Ketua Menteri Melaka mengisitiharkan Melaka Maju. Puluhan ribu ringgit duit rakyat lebur untuk menjayakan promosi dan sambutan majlis berkenaan. Akhirnya tembelang pecah, OECD yang dijaja kononnya  mengiktiraf Melaka menafikan memberikan sebarang pengiktirafan.

Pembohongan bahawa Melaka Maju terserlah apabila masih terdapat rakyat di Merlimau Melaka yang tidak menikmati bekalan air paip dan elektrik. Belum pernah kita dengar di mana-mana pun negeri atau negara maju, rakyat masih bergantung bekalan air perigi dan menggunakan lilin dan pelita tetapi ini berlaku di Melaka Negeri Maju.

Perkara ini dididedahkan oleh C Ragunathan yang juga seorang pengundi di Merlimau.Rumahnya yang berusia lebih 25 tahun terletak di atas sebidang tanah milik swasta di sebuah estet kelapa sawit di Kampung Paya Yoki, kira-kira 6km dari pekan Merlimau dan kira-kira 500 meter dari kawasan kejiranan yang paling hampir.

Hanya lima tahun lalu Ragunathan mendapat sambungan bekalan elektrik ke rumahnya, itupun bukan melalui cara yang sepatutnya.

Selepas bertahun-tahun permohonannya asyik ditolak, beliau membayar RM30,000 kepada seorang juruteknik bagi membuat penyambungan 'haram' bagi mendapatkan bekalan elektrik. Ini dilakukan dengan pemasangan tiang ke rumahnya dari grid tenaga yang terletak kira-kira 2km jaraknya.

Namun, bagi rumahnya yang didiami oleh lebih 10 orang itu, mereka masih tidak menikmati bekalan air bersih.

Ragunathan, ayah kepada tiga anak itu berkata, bekalan air harian kini diperolehi menerusi sebuah kolam di belakang rumah mereka. Bagi air minuman, bekalan diperolehi dari sebuah perigi.

“Saya masih bertanya kepada pihak berkuasa bila boleh dapat bekalan air paip. Malah, sehingga hari ini, saya terus telefon mereka,” katanya ketika ditemui.

“Mereka (pihak berkuasa) kata tidak dapat bekalkan keperluan itu kerana tidak ada orang tinggal di kawasan ini tetapi, bukankah kita juga orang?”

Terdapat lebih kurang 20 pemilik tanah yang masih tinggal di kawasan yang sama. Ada yang telah berpindah kerana terlalu sukar bagi meneruskan kehidupan tanpa keperluan asas.

Saya yakin selepas pendedahan ini mungkin Ketua Menteri Melaka dan para EXCO sendiri akan bersusah payah memikul tiang elektrik dan  bertungkus lumus memasang paip untuk menunjukkan bahawa Umno/BN peka masalah rakyat. Kemungkinan juga  Ragunatahan dan penduduk yang lain di kawasan berkenaan akan mendapat lampu berkelip-kelip sepanjang jalan kampung berkenaan. Tidak mustahil juga penduduk di situ menjelang PRK Merlimau bukan sekadar mendapat air paip tetapi juga air pancut dan air terjun buatan seperti di Bukit  Sebukor.

Maka selepas ini kita akan dapat menyaksikan upacara perasmian gilang gemilang yang bakal dihadiri sekurang-kurangnya Timbalan Perdana Menteri. Tak percaya nanti tunggu je lah...Kepada Ragunatahan alang-alang meminta, mintalah 'flyover' atau 'eskolator' untuk menghubungkan kampung berkenaan ke pekan Merlimau!

0 comments:

Post a Comment