Monday, February 21, 2011

JANGAN PERCAYA FITNAH UMNO : PAS Tetap Membela Melayu

SHAH ALAM - Pas memberi jaminan bahawa parti tersebut tidak akan mengetepikan kepentingan, hak dan nasib orang Melayu sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, walaupun Pas lebih mengutamakan perjuangan Islam, namun parti ini akan terus mempertahankan orang Melayu yang merupakan masyarakat majoriti di negara ini.

Menurutnya, tugas mempertahankan Melayu bukan hanya terletak di tangan parti UMNO, tetapi ia adalah tanggungjawab semua parti termasuklah Pas, begitu juga kepentingan kaum-kaum lain.

“Islam tidak jadikan agenda perjuangan Melayu atau kaum-kaum tertentu sebagai keutamaan, adakah orang Melayu akan mundur tanpa bantuan UMNO?

“Bagi Pas orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu di Malaysia,” kata beliau pada majlis perasmian Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa Jaminan Pas di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut mengingatkan umat Islam agar berpegang teguh kepada agama kerana Islam adalah pemberian terbesar Allah SWT kepada umat manusia.

“Walaupun kaum yang paling dominan di negara ini adalah orang Melayu, perlu diingatkan Islam adalah pemberian Allah SWT.

“Menurut Islam, jika guna sekular sebagai ideologi sama bermaksud menolak Islam tetapi hari ini UMNO jaga Islam pun tidak, jaga Melayu pun tidak,” katanya.

Selain itu, Nik Aziz turut menegaskan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang digubal untuk membantu orang Melayu dan bumiputera sejak 41 tahun lalu gagal kerana UMNO-Barisan Nasional (BN).

“DEB untuk orang Melayu dan Bumiputera telah digagalkan pemimpin UMNO. Mereka gagal walaupun telah diberi tempoh yang amat panjang.

“Ia satu pengkhianatan yang dilakukan secara sistematik oleh pemimpin BN dan tolak hak orang Cina, orang India, orang Iban dan orang Kadazan,” katanya.

Sebaliknya menurut Nik Aziz, DEB diwujudkan hanya untuk membantu kroni-kroni UMNO-BN selain digunakan untuk mendapatkan sokongan orang Melayu secara terus-menerus.
 

0 comments:

Post a Comment