Thursday, February 17, 2011

Merlimau pemangkin kemenangan PR Melaka

Kelihatan pekerja sedang menurap jalan lama Merlimau-Melaka yang tidak diperdulikan selepad PRU 2008.

Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Mohd Ali Rustam, Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah dan Adun Serkam, Ghazale Mohamad berbincang dengan Mudir Tahfiz As-Solihin, Us Fadullah Ab Ghani tentang bantuan kerajaan negeri.


Oleh ZAILI MUHAMMAD

MELAKA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau yang akan diadakan pada 6 Mac nanti bakal menjadi pemangkin kepada kemenangan Pakatan Rakyat Melaka dalam merealisasikan matlamatnya menawan Melaka.

Merlimau sebuah pekan kecil yang sedang membangun di dalam daerah Jasin dan terletak di tengah- tengah antara bandar Melaka serta Muar. Di sini juga wujudnya sebuah politeknik di depan Masjid Asy-Syuja'ah, balai bomba, hospital, balai polis, dua buah sekolah menengah, sebuah kawasan perindustrian yang menempatkan beberapa buah kilang dan sebuah projek bandar baru Merlimau yang semakin rancak pembinaannya.

Dun Merlimau (N27) diwujudkan pada tahun 1994 di mana sebelum itu merupakan sebahagian daripada Dun Sungai Rambai. Dun ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu di bahagian pantai meliputi pekan Merlimau yang mempunyai empat daerah mengundi Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Manakala, di bahagian darat mempunyai tiga daerah mengundi iaitu Chinchin, Ayer Merbau serta Jasin Lalang dan secara umumnya Merlimau adalah sebuah perkampungan tradisional Melayu yang bercampur dengan pekan kecil dan ladang. Kaum Melayu tinggal di kampung, Cina di pekan dan India di Ladang, hasil peninggalan polisi penjajah British iaitu pecah dan perintah.

Pilihan Raya Umum (PRU) pertamanya ialah pada tahun 1995 di antara calon Semangat 46 dan Umno. Pada PRU 1999, Mejar (B) Jasme Tompang (PAS) memperolehi 2,012 undi tewas dengan majoriti 2,252 kepada Dato' Nadzri Azim (BN) yang mendapat 4,264.

Pada 2004 menyaksikan calon BN, Dato' Mohamad Hidhir Abu Hassan menang dengan majoriti yang lebih besar iaitu sebanyak 5,087 undi apabila memperolehi 6,332 undi menggalahkan calon KeADILan, S.Jayathas yang mendapat 1,245 undi.

BN mengalami kejutan apabila majoriti mereka merosot kepada 2,154 pada tahun 2008 di mana Dato' Mohamad Hidhir cuma mendapat 4,981 undi manakala calon PAS yang kembali bertanding Mejar Jasme mendapat 2,827 undi.

Dalam PRU 2008, seramai 10,471 orang pengundi berdaftar layak mengundi di Dun Merlimau dan daripada jumlah itu, Melayu sebanyak 64.69%, 21.11% Cina, 14.16% India serta 0.04% pengundi lain-lain kaum.

PAS Melaka meletakkan harapan besar untuk memenangi Dun Merlimau pada PRK ini kerana ianya antara Dun sasaran yang berpotensi ditawan dalam PRU ke 13 berdasarkan kelebihan beberapa aspek yang di ambil kira termasuklah faktor peratusan pengundi bukan Melayu yang agak tinggi.

Menurut Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman bahawa beliau mengharapkan pengundi di Merlimau berani melakukan perubahan memilih calon PAS sebagai mewakili satu-satunya suara pembangkang daripada Adun Melayu-Islam di persidangan Dun Melaka bagi mengimbangi majoriti lebih 2/3 BN Melaka.

"Sekiranya kita mempunyai wakil di dalam Dun Melaka baharulah Umno tidak boleh sewenang-wenangnya mempermainkan hak orang Melayu-Islam contohnya menjualkan tanah wakaf dan salahguna wang zakat di dalam pembinaan Kompleks MAIM di Bukit Baru seperti pendedahan Jabatan Audit Negara 2009.

"Maka dengan itu akan wujudnya sedikit keseimbangan kuasa dan Umno akan berfikir banyak kali jika hendak melaksanakan sesuatu tindakan yang berkaitan dengan hak orang Islam bukannya seperti sekarang mereka boleh buat sesuka hati sahaja," jelas Ustaz Ghani.

DAP sendiri menyuarakan rasa terkilannya dengan ketiadaan wakil pembangkang daripada Melayu-Islam di dalam persidangan Dun kerana Adun mereka yang kesemuanya berbangsa Cina tidak mampu menjawab persoalan yang berbangkit berkaitan bangsa Melayu dan Islam.

Malah ketika DAP membawa usul membantah dan mempertahankan surau serta bangunan Pasti Bukit Katil agar tidak dirobohkan bagi pembinaan jalan raya, ianya diperlekehkan oleh Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam dengan momokkan bahawa DAP tidak layak bercakap tentang soal Melayu dan Islam.

Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San turut mengakuinya bahkan secara berseloroh mengatakan bahawa apabila wakil Umno bercakap mengenai Islam, beliau tidak mampu untuk turut berhujah dan dia juga tidak mengetahui samada Umno tipu atau tidak di dalam sidang Dun.

DAP sejak awal-awal lagi telah mengarahkan ahli dan penyokongnya memberikan sokongan padu kepada calon PAS pada PRK ini serta telah mengerakkan jenteranya bersama dengan petugas PAS tempatan bagi memenangi sokongan khususnya pengundi Cina.

Sekiranya sokongan bukan Islam dapat ditingkatkan sehingga melebihi 80% dan juga sokongan orang Melayu juga bertambah beberapa peratus lagi maka tidak mustahil PAS akan mampu menang pada PRK ini.

PAS Melaka begitu optimis mengenainya dan fokus sasaran sepatutnya bertumpu kepada pengundi atas pagar yang juga merupakan kelompok penentu di mana mereka sedang memerhati setiap perkembangan yang berlaku dan menzahirkan kecenderungan atau pilihan mereka di saat akhir.

Umno-BN yang mengakui situasi tersebut mula mengatur srategi bagi mengabui pemikiran pengundi dengan menaburkan pelbagai projek segera seperti menurap jalan, RM5.6 juta naiktaraf jeti kuala Sungai Merlimau, bantuan segera RM500 ribu bagi membaiki rumah, projek parit serta longkang, Taman Monyet dan Taman Kucing.

Walaubagaimanapun pengundi di sini yang terdedah dengan pelbagai maklumat dijangkakan tidak akan termakan dengan janji-janji pilihan raya ini dan diharapkan mereka menggunakan PRK ini sebagai tanda protes terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga minyak dan harga barang mutakhir ini.

3 comments:

Azizan Azit said...

hidup mat bond....ha

Azman Md Safiee said...

Kami menyediakan 3 buah rumah sewa dan 1 Hostel Sempena PRK DUN Merlimau Untuk 14 Feb-8 Mac (Tarikh lain adalah kadar Biasa:Rujuk posting sebelum ini):. Hubungi segera 0123736548 / 0136042525 / 06-5293031 @ http://jasinhomestay.blogspot.com/

amir said...

Masaalah sungai merlimau yang tercemar sudah lebih 10 tahun pun BN tak dapat nak selesaikan. Sekarang ini memang nampak bersih, maklumlah nak PRK, jalan yang masih elok pun diturap baru.

Post a Comment