Friday, February 11, 2011

DATO' TUAN IBRAHIM PEGARAH PRK MERLIMAU

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik menjadi Pengarah jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau 6 Mac depan.

Menurutnya perlantikan tersebut dibuat oleh Lajnah Politik PAS Pusat yang bermesyuarat baru-baru ini.
Tuan Ibrahim yang mengesahkan perkembangan tersebut berkata, mesyuarat pertama jentera PAS bagi PRK berkenaan telahpun diadakan semalam.

Pilihan raya ini merupakan PRK ke 16 sejak pilihan raya umum (PRU) Mac 2008.
Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) telah memutuskan calon PAS yang akan membawa cabaran bagi merampas kerusi BN itu.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan selepas mengalami serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Dalam pilihan raya umum 2008 itu, Mohamad Hidhir mengalahkan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154, iaitu pengurangan hampir 3,000 undi berbanding pencapaian BN sebelumnya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Daftar Pemilih yang akan digunakan untuk PRK ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010 (bagi bahagian pilihan raya berkenaan) yang telah dikemaskini sehingga 20 Januari 2011.

Daftar Pemilih tersebut mengandungi 10,679 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 10,643 pengundi biasa dan 36 pengundi pos.

Daripada jumlah tersebut,seramai 64.69% pengundi adalah berbangsa Melayu,21.11% Cina,14.16% India dan baki 0.04% pengundi lain-lain kaum.

0 comments:

Post a Comment