Monday, February 28, 2011

ALI RUSTAM KENA BELAJAR DARI USTAZ AZIZAN RAZAK TENTANG CIRI PEMIMPIN YANG ADIL

Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Muhd Ali Rustam sebelum ini dengan angkuh memberitahu bahawa beliau akan mengutamakan penyokong BN dalam sebarang projek pembangunan. Kepada satu pertubuhan pendidikan Cina di Merlimau dengan nada sinis beliau memberitahu, bantuan akan dibincangkan kalau hanya BN menang di Merlimau.

Ini versi kenyataan pemimpin Umno yang kononnya menjadi juara rakyat serta mengulang-ulang slogan rakyat didahulukan.

Ada kita dengan kenyataan ini keluar dari Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atau daripada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat? Kalau ada nescaya tujuh hari tujuh malam akan keluar dalam surat khabar dan TV.

Mari kita renungkan pula apa yang Menteri Besar Kedah Dato Seri Azizan Razak kata apabila mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menanggung semua perbelanjaan pelajar negeri itu kembali ke Mesir beserta duit poket RM 500 seorang.

"Jangan terima kasih kepada Kerajaan Negeri. Ini duit rakyat. Duit cukai. Keuntungan balak. Keuntungan pelaburan di Kulim Hitech untuk kamu semua belajar. Belajar bersungguh-sungguh. Jangan hampakan harapan ibu bapa,“Rakyat bersama kita menangani sebarang isu. Rakyat bangga anak-anak Kedah berjaya masuk pengajian tinggi, belajarlah dengan sungguh-sungguh,” katanya.

Inilah keadilan dalam Islam tanpa mengira latar belakang dan ideologi politik sama ada Pas atau Umno. Ali Rustam patut malu pada dirinya sendiri kerana masih lagi bersikap berat sebelah, mengamalkan diskriminasi walaupun kononya berbangga Melaka sudah maju 2010. Mungkin inilah mentaliti pemimpin negeri maju yang lebih kurang sama dengan dasar Apartheid

PEMIMPIN UMNO SUKA TENGOK GAMBAR LUCAH?

Umno bukan sahaja menyerang peribadi calon di Merlimau tetapi juga menyebarkan gambar lucah dengan menggunakan teknik super impose yang menggambarkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Cuma saya nak bertanya daripada mana  Umno dapat gambar lucah tu? Pastinya hanya mereka yang suka tengok gambar lucah yang tahu bagaimana nak dapatkan sumber gambar tu. Bayangkanlah apa akan berlaku kepada generasi kita apabila dipimpin oleh mereka yang suka tengok gambar lucah. 

Jadi memang patutlah, Ketua Menteri Melaka beria-ia buat Sekolah Murid Mengandung ( sekolah Harapan ) di Serkam bersebelahan dengan Merlimau kerana banyaknya anak  zina  di Melaka antaranya yang lahir bahana daripada gambar lucah.

ALI RUSTAM JANGAN TERUS BERDALIH : AYUH BERDEBAT!

Pelik bin Ajaib apabila seorang yang bertaraf Ketua Menteri bermain silap mata semata-mata untuk memancing undi dalam PRK Merlimau ini. Datuk Seri Ali Rustam yang mengaku kalah dengan Kelantan dari segi gejala sosial, terutamanya yang berkaitan dengan perkara mengandung anak luar nikah.
Apa bukti? Menurut beliau, buktinya, di Sekolah Harapan yang didirikan oleh kerajaan Melaka ada enam orang kelantan berbanding hanya dua orang Melaka.
“Bab itu Melaka kalah dengan Kelantan, dan saya mengaku,”katanya sambil senyum sinis semasa menghadiri program kesenian di rumah Penghulu Md Natar di Merlimau Pasir petang Ahad.
Apakah lawak antarabangsa itu sesuai dengan mood pengundi di Merlimau. 6 Kelantan 2 Melaka. Walaupun 6 dari Kelantan tetapi semua kejadian berlaku di Melaka? Ini bermakna kejadian zina berlaku di Melaka berlaku 8 kali tetapi di Kelantan 0. Alahai KM Melaka ini, cubalah bawa isu yang lebih baik dan profesional sesuai dengan taraf anda.
Siap ajak berdebat lagi, sudah lama PAS Melaka ajak berdebat tapi tak pernah nak jawab,tiba-tiba dalam PRK Merlimau menjadi berani.  Katanya, “Saya dah ajak sebelum ini, tapi mereka diam, nanti selepas pilihanraya ini saya akan ajak lagi, kita debat terbuka pilih mana TV yang dia nak, TV3 boleh TV1 boleh, saya tak ada masalah,” katanya.
Kepada semua penduduk Merlimau sila kod kata janji KM anda, insyaAllah selepas PRK Merlimau pasti ada cabaran debat jemputan kali kedua dari PAS dan Pakatan Rakyat. Jika KM anda berdalih lagi, maka sahlah dia bapak pembohong dan perlu ditalqinkan.

SERUAN UNTUK PENGUNDI DI MERLIMAU DAN KERDAU : YAB.TG NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

<>  <>
 
 
Salam Sejahtera.

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Maksud Al-Quran, al-An’am 6:162)

Sesungguhnya, segala puji-pujian kepada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Pesuruh Allah pengakhir zaman.

Didoakan kepada semua pengundi, sanak-saudara dan kaum keluarga warga Dun Merlimau dan Dun Kerdau berada dalam selamat dan sejahtera dengan izin Allah, Tuhan Yang Maha Esa.

Tuan-puan dan Saudara-saudari yang dihormati sekalian.

Bersempena dengan pilihan raya kecil N.27 Merlimau, Melaka dan N.28 Dun Kerdau, Pahang ini, saya dengan ini mengambil kesempatan untuk menyampaikan seruan ingatan kepada diri saya dan pengundi sekalian yang berkebetulan berlaku dalam bulan sambutan Maulidur Rasul 1432H. Maka, ambillah pengajaran daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat bukannya laknat kepada sekalian alam. Mengamalkan ajaran Nabi baik dari segi ibadatnya, mahu pun segenap urusan hidup (mauamalat) adalah pelengkap kepada mencapai keberkatan di akhirat nanti. Oleh kerana itu, kita kena bergantung kepada Islam di dalam segala-gala segi perjuangan hidup. Ajaran Nabi Muhammad SAW sendiri tidak menerima perjuangan atas nama bangsa Arab, yang diterima hanyalah perjuangan atas nama keimanan yang hakiki terhadap Allah, Rasul dan hari akhirat. Selari dengan firman Allah:

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidilharam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim.”  (Maksud Al-Quran, At-Taubah 9:19)

Justeru Islam mengutamakan iman bukannya perbuatan. Atas kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW inilah, maka setiap apa yang kita buat hendaklah berserta dengan niat yang tulus di atas dasar keimanan.

Oleh itu, menghadapi pilihan raya kecil ini, saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi “untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”

Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air. Ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan  negeri di Kelantan. Dan kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Bagi PAS di Kelantan, kejayaannya adalah kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah (keyakinan kepada Tuhan), mas’uliah (penuh tanggungjawab mengikut kehendak agama) dan itqan (melakukan yang terbaik) yang selari dengan kehendak syariat. Justeru itu, Kerajaan Negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan. Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama.

Ia sebagai bukti betapa syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini berjaya mendidik pentadbir, pemimpin dan rakyat terus berpegang teguh kepada agama. Falsafah ini adalah selari dengan doa iftitah yang kita baca di permulaan sembahyang: 

“Sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi ‘alami).”

Maknanya kerajaan Negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama––bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati. Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.

Justeru Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum, bahawa apa yang kita laksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini. Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah––dinar  emas dan dirham (sistem kewangan Islam zaman Nabi Muhammad SAW), dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It’aam.

Tuan-puan dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.

Islam mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya. Setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS. Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS.

Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Oleh sebab amalan itulah, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini. Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam.

Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Maksudnya, kita hendaklah menerima Islam dan ke-Esaan Tuhan dengan tulus ikhlas. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun hendaklah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS. Malangnya, ajaran seperti ini tidak diajar oleh perjuangan sekular dan kebangsaan Umno. Oleh itu, terimalah sistem Islam yang sentiasa benar dan adil untuk semua kaum.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam–tidak tali kebangsaan) dan janganlah kamu bercerai-berai .”
(Maksud Al-Quran, Ali-Imran 3:102-103),

Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Maka, menolak perjuangan Umno-BN adalah satu tindakan betul yang sekaligus menolak perjuangan sekular dan kebangsaan.

Oleh itu, saya penuh yakin bahawa calon PAS-Pakatan Rakyat, Haji Yuhaizad bin Abdullah (Dun Merlimau) dan Hassanuddin bin Salim (Dun Kerdau) adalah calon-calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi. Mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat. Dengan ini saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi, terutamanya pengundi Melayu, Cina dan India, dan khasnya pengundi peneroka yang budiman lagi bijaksana, bersama-samalah kita mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat. Bulatkan hati, dengan lafaz ‘Bismillah...nama Tuhan yang Esa’ undilah Bulan pada hari Ahad, 6 Mac 2011 nanti. Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat dan jangan hiraukan ugutan dan sogokan pihak Umno-BN.

Selamat mengundi. Semoga dengan ‘sepangkah undi,’ tuan-puan dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat”
*PAS UNTUK SEMUA *

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan
merangkap Mursyidul Am PAS

sumber :www.harakahdaily.net
 

LEBIH BANYAK PEMBANGUNAN DI MERLIMAU JIKA BN KALAH

Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato Abdul Halim Abdul Rahman berkata Umno BN ternyata masih menggunakan taktik kotor untuk meraih undi dengan mengugut pengundi-pengundi.

"Ada pihak tertentu dalam Umno mulai sekarang ini mengugut penduduk-penduduk jangan mengundi PAS. Sekiranya mereka mengundi Pakatan semua peruntukan di Merlimau ini akan ditarik balik."

"Ini cara jahat untuk mengugut pengundi supaya terus mengundi Umno."

"Segala peruntukan bukan dari Umno tapi duit rakyat. Kenapa mesti nak tarik?" soalnya yang juga ahli Parlimen Pengkalan Chepa dalam sidang media harian PR di Markaz Induk PAS PRK Merlimau di Taman Muhbbah Merlimau dipetik dari portal Harakahdaily.
Kata beliau lagi, pengundi-pengundi di Merlimau perlu berfikir dengan bijak sebelum memilih calon Pakatan Rakyat atau BN.

Ini kerana ujarnya, BN hanya akan mencurahkan pelbagai projek untuk memenangi hati rakyat apabila sesuatu kawasan itu dimenangi Pakatan Rakyat.

"Kalau penduduk di sini nak pembangunan dan ekonomi yang pesat dia kena mengundi Pakatan Rakyat kerana bila mengundi Pakatan Rakyat, calon kita menang, Umno akan usaha mencurahkan segala projek untuk menang balik dalam pilihan raya akan datang.

"Tapi kalau penduduk terus mengundi Umno, tak akan berlaku apa-apa.

"Kalau Umno kalah mesti dia curahkan segala projek untuk kembali memenangi hati rakyat," katanya.

PELAJAR DIARAH MENYAMAR SEBAGAI PENGUNDI?

Maklumat yang diperolehi dari sumber dalaman parti tertentu menunjukkan ada usaha-usaha sedangkan dijalankan untuk mengupah dan mengarahkan pelajar sebuah institusi pendidikan untuk mengundi pada hari pengundian 6 Mac ini.

Antara modus operandi yang dilakukan oleh parti tersebut ialah mereka telah mengumpulkan data pengundi yang tidak hadir pada Pilihanraya Umum 2008, pengundi yang mati dan pengundi luar yang tidak balik mengundi. Pelajar-pelajar ini akan diberi Kad Pengenalan palsu dan mengundi baki pihak ketiga-tiga kategori pengundi tadil.

Selain itu jentera parti-parti tertentu ini juga akan cuba membeli kad pengenalan pengundi muda, warga emas, pengundi miskin dan sebagainya. Setelah Kad Pengenalan ini dibeli, pelajar-pelajar ini akan dibekalkan dengan Kad Pengenalan palsu yang tertera nama, gambar dan alamat ketiga-tiga kategori pengundi tadi. Setelah semuanya lengkap mereka diarahkan mengundi berperingkat-peringkat.

Sementara itu Jentera Pilihanraya PAS Merlimau sudah bersedia untuk menangkis penipuan ini.

"Kita akan beri kursus khas kepada Polling dan Counting Agent PAS bagi menangkis penipuan dan penyelewengan ini, kita akan tangkap semua pengundi palsu ini"

"Kita sudah bersiap sedia dengan pasukan Peguam, pasukan media PAS dan alternatif" tegas salah seorang Ahli Jawatankuasa Jentera Piliharaya PAS Dun Merlimau.

"Polling Agent kita sudah bersiap sedia dengan ilmu Akta Pilihanraya, undang-undang pilihanraya, kita betindak berdasarkan undang-undang bukannya rimba"katanya lagi.

Menurut jurucakap itu, Polling Agent PAS akan diberikan latihan teori dan praktikal bagaimana untuk mengawal suasana dan bertindak secara profeessional dan matang. Kita mahu pilihanraya yang adil, telus.

ALI RUSTAM TAK DAPAT BEZA DI ANTARA DINASTI DAN DEMOKRASI

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ahli Rustam  semakin pening menjelang Pilihanraya Kecil N27 Merlimau. Beliau sudah keliru  dan tidak dapat membezakan di antara istilah dinasti dan demokrasi. Dinasti merujuk sistem pewarisan ahli keluarga dari satu generasi ke satu generasi. Manakala demokrasi pula berdasarkan suara ramai atau suara majoriti.

Pakatan Rakyat sebelum ini mepertikaikan pemilihan calon Umno di Merlimau Roslan Ahmad yang mengamalkan sistem dinasti dalam Umno.(Roslan juga adalah anak saudara bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Isnin (adik Allahyarham Ahmad Ithnin). DUN Merlimau adalah pecahan daripada DUN Sungai Rambai ekoran persempadanan semula pada 1994).

Sehinggakan Ketua Wanita Umno Jasin, Zaleha Bujang kecewa kerana tidak dipilih menjadi calon dan mengambil tindakan menutup bilik gerakan Wanita Umno di Merlimau.Ali Rustam cuba menghentam kembali  Pakatan Rakyat kononnya mengamalkan sistem dinasti dalam parti.

Ternyata tindakan menghentam Pakatan Rakyat dengan memberi contoh dalam PKR  dan DAP  terkena kepada batang hidung sendiri dan semakin menunjukkan betapa tidak cerdiknya Ketua Menteri Melaka ini. Pemilihan Datin Wan Azizah sebagai Presiden PKR, Nurul Izzah sebagai Naib Presiden dilakukan melalui pemilihan parti secara demokrasi. Begitu juga apa yang berlaku dalam DAP. Berbanding dengan pemilihan Roslan dilakukan melalui kuasa Pengerusi Perhubungan Umno  melalui mesyuarat Bahagian dan disahkan oleh Presiden Umno.

Tak akan itu pun payah nak fikir. Kepada penasihat  dan Setiausaha Politik Ali Rustam tolong le bagi nasihat yang bernas sikit supaya orang Melaka tidak menjadi mangsa menjadi bahan ketawa kerana kecerdikan Ketua Menterinya.

NAJIB TERUS GUNA ISU LAPUK KELIRUKAN RAKYAT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus menggunakan isu lapuk bagi mengelirukan rakyat menjelang pilihanraya kecil Merlimau dan Kerdau. Semalam beliau berkata, Pas sepatutnya bekerjasama dengan UMNO untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan umat Islam di negara ini dan bukannya memilih DAP untuk bersahabat.

Katanya, beliau hairan bagaimana Pas sanggup bersekongkol dengan DAP sedangkan parti terbabit secara jelas menentang kewujudan negara Islam di Malaysia.

"Timbalan Pengerusi DAP, Karpal Singh (sekarang Pengerusi) pernah menegaskan supaya langkah mayatnya dulu jika Pas mahu mewujudkan negara Islam.

"Semua pemimpin Pas membisu apabila Karpal kata begitu," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Bersama Warga Felda Jengka 23 di Bandar Jengka semalam.

Ternyata Najib terus berusaha mengelirukan rakyat khususnya orang Melayu supaya membenci PAS dengan berterusan menghentam PAS kononnya membelakangkan Umno parti orang Melayu Islam berkawan dengan DAP yang anti Islam.

Kita hairan bagaimana Najib menuduh DAP anti Islam sedangkan DAP tidak pernah membunuh orang Islam dan DAP tidak pernah juga mengugut untuk bertindak jika negara Islam hendak dilaksanakan. Malah Karpal Singh juga sudah mula kendur dalam isu negara Islam apabila berkata perkara ini boleh dibincangkan oleh pimpinan tertinggi PR.

Apa yang kita semua sedia maklum, parti yang secara terang-terangan menolak negara Islam ialah Umno apabila pimpinan Umno mengugut kerajaan negeri Kelantan  dengan pelbagai ugutan jika undang-undang hudud hendak dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu. Selain itu pemimpin Umno mempersendakan undang-undang Islam dan negara Islam. Kita tidak hairan jika Karpal Singh menentang negara Islam yang kita hairan ialah mengapa pemimpin Umno lebih hebat menentang undang-undang Islam dan Negara Islam.

PAS tidak pernah menolak perpaduan dengan Umno tetapi Umno sendiri tidak pernah berubah apabila terus menerus menekan PAS dengan pelbagai tekanan dan diskriminasi. Selain itu Umno sendiri masih terus mahu mempertahankan ideologi sekularisme, pragmatisma dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berubah dari segi rasuah, kezaliman (ISA, OSA dan lain-lain) juga dari segi semangat federalisme dan sebagainya.

DAP tidak pernah membunuh umat Islam tetapi siapakah yang membunuh Ustaz Ibrahim Libya dan sahabat-sahabatnya di Memali pada 19 November 1985.???

Pendapat Pembaca : Ahmad Danial, Melaka

WANITA UMNO KECEWA : Puteri Kini Jadi Rebutan

Jasin : Wanita UMNO kini terus menjadi sebutan dan pantauan banyak pihak terutamanya dikalangan ahli parti mereka sendiri setelah dikatakan terlalu kecewa sehingga hampir menutup Bilik Gerakan Wanita Umno dalam PRK N27 Merlimau baru-baru ini.

Simpati atas nasib yang menimpa mereka maka Penolong Setiausaha Wanita Umno Datuk Rosni Sohar ditugaskan  untuk cuba memujuk dan memberikan semangat kepada semua wanita Umno semalam agar terus memberikan khidmat dengan mengambil semangat Tun Teja pula.

"Wanita Umno tidak berkecil hati atau merajuk tetapi kita sentiasa mengharapkan supaya suatu masa wanita dibei tempat untuk jadi calon. Memang sebelum ini wanita ada melakukan sedikit protes dan biasalah tergelincir sedikit dari landasan " kata Rosni Sohar.

Kesian Wanita Umno di Merlimau, mungkin kaum lelaki dalam Umno pandai memujuk mereka tetapi kesannya tidak ramai wanita Umno yang hadir semasa hari penamaan calon di Politeknik Merlimau semalam. Adakah ini protes dari kalangan wanita Umno atau kaum lelaki mereka gagal memujuk wanita Umno? Tepuk dada tanya selera anda.

Yang peliknya Datuk Rosnah menyuruh wanita Umno mengikut semangat Tun Teja. Kalaulah dia ingat sejarah, Tun Teja ialah seorang jelitawan yang dibawa oleh Hang Nadim atau Hang Tuah dari bumi Pahang untuk diperisterikan kepada Sultan Mahmud Melaka. Tun Teja menjadi rebutan antara pembesar di Melaka dan Pahang. Itulah baru Tun Teja yang sebenar tetapi wanita Umno, bukan sahaja tidak menjadi rebutan malah tidak dicalonkan oleh kepimpinan Umno dalam PRK  Merlimau ini.

Wanita Umno bukanlah Tun Teja......lupakan sahaja wahai wanita Umno kerana yang menjadi rebutan sekarang ialah Puteri Umno..........(mzz)




UMNO GUNAKAN MELAYU UNTUK RATAH MELAYU

Kenyataan media Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat, 28 Feb 2011, Markaz Induk PAS Dun Merlimau.
Tidak dinafikan bahawa Melayu adalah kaum pribumi di negara ini. Semua pihak mengakui hal ini. Atas kesedaran ini semasa kemerdekaan negara semua kaum telah menerima hakikat ini. Beberapa perkara yang dianggap satu kontrak sosial yang telah diterima pakai. Oleh itu pemimpin Pakatan Rakyat mengetahui  betapa  pentingnya perkara ini, maka ia telah diterima pakai dan menjadi satu ketetapan di Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama pada  19/12/2009 di Shah Alam 
  • Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama- agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai
  • Melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153
  • Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan
  • Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum 
Bergerak atas asas inilah maka Pakatan Rakyat menerima ketetapan bersama, kerana ia merupakan perkara asas dalam pembentukan sebuah negara yang akan diperjuangkan oleh Pakatan Rakayat.

Maka tidak kurang penting juga umno yang menjadi tulang belakang BN menjadikan isu Melayu untuk meraih sokongan orang melayu di negara ini. Kerana mereka sedar bahawa melayu adalah tonggak kekuatan politik di negara ini. Maka mereka memainkan gendang yang sama untuk meletakkan bahawa melayu dalam keadaaan bahaya sejak pilihanraya 2008. 

Sepatutnya umno kena merasa malu untuk bercakap soal melayu yang tertinggal pada hari ini. Mereka kena ambil cermin menyuluh kembali muka mereka siapa yang menjadikan melayu di negara ini merempat. Dunia maklum bahawa memang pemimpin umno suka orang melayu memgemis dan jahil, kerana akan menjadi ulam untuk umno. Pemimpin umno sedar pada hari ini yang menyokong mereka ialah melayu subsidi dan melayu yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin. (PPRT). Melayu bandar dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kuat sudah tidak menyokong umno.
 
Satu lagi melayu yang ,menjadi “simpanan tetap umno” dan stok penimbal ialah peneroka  FELDA. Sebab itu apabila masalah FELDA dibongkar dalam media mengenai susut aliran tunai dalam masa 5 tahun sejak Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai FELDA telah menimbulkan kemurkaan pemimpin umno. Mereka marah kerana bangkai gajah sudah tidak dapat lagi disembunyikan. Dengan kewangan yang ada pada FELDA pada tahun 2004,  RM4.08 bilion telah susut kepada RM1.35 bilion (merosot sebanyak RM2.73 bilion). Wang FELDA dibelanja kepada projek yang tidak dilihat sebagai menguntungkan orang Melayu FELDA antaranya dana khas basmi kemiskinan di Sabah sebanyak RM253 juta. Apa kena mengena basmi kemiskinan di Sabah. Kenapa perlu ambil wang FELDA, tidak cukupkah hasil minyak di Sabah, balak yang melimpah ruah. Pada hal FELDA banyak di Pahang dan Johor.  Kemana pula hasil minyak sabah sampai terpaksa mengemis dengan FELDA hak orang melayu. Mereka sedar ini adalah benteng terakhir umno, jika “simpanan tetap” ini dapat dicairkan umno akan ditalqinkan insyaAllah di Pahang khususnya. Dua kerusi dewan undangan negeri yang  Pas menang di Pahang (Semantan dan Basrah), kedua-dua ini tidak ada kawasan FELDA.
 
Demi ekonomi Melayu yang masih ketinggalan maka orang melayu , kena menyokong umno. Parti lain daripada umno tidak boleh membela ekonomi melayu.

Pemimpin Umno kena malu dengan kenyataan tersebut.  Apa sudah jadi dengan DEB ketika tamat pada tahun 1990 ekuiti Bumiputra ada 18% tetapi telah merosot kepada 15% sahaja pada tahun 2000. Kemana ekuiti ini hilang kalau tidak pengkhianatan yang dilakukan oleh Melayu Umno. Pas  terbukti berjaya mengangkat martabat Melayu di Trengganu 1999-2004 daripada negeri kedua miskin menjadi nombor empat termiskin di Malaysia walaupun royalti minyak dirompak. Baru empat tahun memerintah kita mampu menunjukkan prestasi yang  baik. Cuba bayangkan kalau diberi peluang memerintah Malaysia sudah tentu lebih gemilang dan cemerlang. Kerana kita tahu untuk menguruskan negara dan khazanah negara
 
Atas nama melayu peruntukan saham bumiputera sebayak RM54  bilion hanya tinggal RM 2 bilion sahaja. Kemana pergi  RM52 bilion? . Sekiranya dana ini diuruskan dengan baik, kita yakin pemilikan ekuiti bumiputera akan mencapai melebih daripada 30%. Tetapi akibat pengkhianatan amanah dan kejahilan pemimpin umno/bn  maka ekuiti bumiputera hanya mendapat 19.4% sahaja.

Mereka juga menjadikan modal supaya rakyat yang  miskin akan menjadi abdi moden dan takut untuk menyokong Pas dan Pakatan Rakyat. Umno akan mencanang bahawa melayu mundur kerana ia adalah akibat ancaman daripada  orang bukan melayu. Mereka mendakwa kalau orang melayu mahu selamat maka teruslah bersama dengan umno kerana umno sahaja  parti yang menjaga ketuanan melayu di negara ini. Sebenarnya atas nama ketuanan melayu menjadi tiket kepada mereka untuk menggadai hak orang melayu di negara ini.
  
Keranamu Melayu, maka melayu dihalau dari kampung mereka sendiri . Inilah yang berlaku di Kampung Plentong Tengah  Johor Baharu hampir 290 buah rumah yang ditolak dan dihalau, walaupun mereka sudah tinggal di situ hampir 30 tahun. Mereka dihalau diburu macam penduduk Ghaza Pelestin  oleh Israel. Kawasan yang diwakili oleh Dato’ Seri  Khalid Nordin yang merupakan ahli Parlimen Pasir Gudang tidak memperdulikan. Sedangkan mereka ini adalah pengundi tegar dan 100% penyokong totok Umno. Inilah balasan Umno. Kampung Plentong sudah menjadi Kg Umno Kelentong. Sewaktu Kampung ini diranapkan tidak ada siapa pemimpin Umno yang datang untuk menolong. Yang menjadi pendinding dan perunding  ialah pemimpin daripada Pas, PKR dan DAP. Seramai 28 orang ditangkap kerana mempertahankan rumah mereka daripada diroboh pada 16/10/2009. Pemimpin Umno hanya datang 5 tahun sekali untuk hendak menagih undi.
 
KeranaMu Melayu,  tanah rezab Melayu telah hilang  dari 3juta hektar pada tahun 1957 kepada  1.7 juta hektar (1995). Bermakna   44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun. Kalau tidak disekat maka tahun  2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja.
 
Kerana Mu Melayu, maka apabila orang Melayu susah, senang mereka  menuding jari kepada penentang umno dengan alasan, semua terjadi kerana Pakatan Rakyat. Mereka buta fakta, bagaimana melayu boleh menjadi susah dalam masa tidak sampai tiga tahun. Mereka cuba menutup kelemahan mereka yang selama ini mengkhianat kepada orang Melayu selama 57 tahun merdeka. Keadaan mereka samalah  dengan pepatah Arab,  “dia pukul aku dia menangis dan dia maki aku maka dia mengadu, orang maki dia”. Pepatah ini sesuai untuk umno.

Sepatutnya umno kena malu kepada Allah dan rakyat, apa yang mereka  buat selama 54 tahun. Kenapa Melayu tertinggal, malah tahap pencapaian ekonomi orang India lebih baik daripada orang melayu hasil perjuangan pemimpin politik bangsa mereka. Sepatutnya orang melayu tidak boleh ketinggalan, kalau kita mendapat pemimpin yang baik dan amanah. Hujahnya ¾  anggota kabinet orang melayu, exco kerajaan negeri orang melayu, pegawai orang melayu. Persoalannya kenapa jadi demikian. Jawapannya kena tukar kerajaan dalam PRU 13, maka kita akan dapat jawapannya. Insyaallah.

Sunday, February 27, 2011

ALI RUSTAM AMAL DASAR 'APARTHEID' DI MELAKA

Dasar Apartheid dah lama berkubur di Afrika Selatan pada tahun 1993. Dasar yang tak bertamadun dan bercanggah dengan nilai kemanusiaan.Diskriminasi melampau yang tak dapat diterima manusia normal. Walau bagaimanapun di Melaka yang kononnya Negeri Maju 2010, Ketua Menterinya masih lagi   seolah-olah berbanggga dengan dasar serupa.

Tanpa segan silu dalam satu ceramahnya di  Lipat kajang Merlimau malam semalam beliau memberitahu akan hanya mengutamakan penyokong BN dalam menagihkan bantuan kepada rakyat Melaka. 

Pada sebelah siangnya semasa penamaan calon Ali Rustam dengan nada yang hampir serupa memberitahu wakil Persatuan Pendidikan Cina Progresif Melaka, Yang Ying Chong bahawa beliau hanya akan hanya mendengar suara dan permohonan mereka jika BN menang dalam pilihanraya di Merlimau. Inilah sebenar watak dalam pemimpin Umno, cuma Ali Rustam ni tanpa malu dan ragu bercakap secara terbuka. Pemimpin yang berfikiran seperti zaman batu yang sama sekali tidak layak untuk menerajui  Melaka.

ALI RUSTAM LUPA PEMBANGUNAN DIJALANKAN GUNA DUIT RAKYAT BUKAN DUIT BN

Ternyata Ketua Menteri Melaka memang mempunyai minda kelas ketiga. Kalau Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri lain mempunyai minda kelas pertama dan kedua, beliau berada di kelas tersendiri iaitu kelas ketiga.

Bukti terbaru dibongkar oleh dirinya sendiri dalam kenyataan akhbarnya hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri pimpinannya akan terus memberi keutamaan bantuan kepada penyokong BN.

"Jika ada orang minta bantuan cari kerja, saya akan berinya kepada penyokong BN, perkara yang sama jika rakyat minta jalan-jalan dibina."

"Ini perkara biasa kerana kebajikan bermula di rumah,” kata Mohd Ali sambil tersenyum sinis.

Agaknya beliau lupa bahawa duit untuk pembangunan dan bantuan itu adalah duit rakyat yang bukan sahaja penyokong BN tetapi juga penyokong PR. Malah di Semenanjung penyokong PR lebih ramai dari penyokong BN kerana undi popular pengundi PR lebih banyak dari BN di Semenanjung. BN hanya selamat kerana adanya Sabah dan Sarawak.

Kalau begitu pandangannya, maka tidak perlulah rakyat yang menyokong PR membayar cukai pendapatan dan cukai-cukai lain kerana pembangunan dan bantuan hanya untuk penyokong BN sahaja. Boleh atau tidak Datuk Seri kalau rakyat bertindak demikian???
Jika beliau seorang Ketua Menteri kelas pertama, beliau sepatutnya tidak mengungkit pembangunan dan bantuan yang dibuat oleh kerajaan kerana ia adalah tanggungjawab kerajaan. Sama seperti ibubapa yang bertanggungjawab membesar dan mendidik anak.

Mana-mana kerajaan di dunia ini bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, itu perkara asas yang tidak perlu ditanya dan dipertikaikan.

Apa yang penting kerajaan mesti bertanggungjawab kepada rakyat tidak mengamalkan penyelewengan, rasuah, kronisme, pembaziran dan lebih teruk lagi menggadaikan harta wakaf dan menggunakan wang zakat seperti yang dilakukan yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Mohd Ali.

INILAH WATAK SEBENAR UMNO, TOLAK ISLAM HINA ULAMA

Gambar ini dirakamkan sewaktu penamaan calon PRK N.27 Merlimau semalam. Gambar yang cukup jijik dan mengaibkan yang dilakukan oleh Umno. Pastinya ia tidak akan dilakukan tanpa restu pemimpin Umno Melaka yang diketuai oleh Dato seri Muhd. Ali Rustam.

Inilah watak sebenar Umno. Presidennya menghina Ulama tersohor Dr Yusof Al Qardhawi, di Melaka anak buahnya menghina Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bapak borek anak berbintik-bintik. Kalau betul mereka membenci dan tidak  suka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz,  hormatilah beliau sebagai seorang tua.

Umno bukan sahaja menolak Islam tetapi terang-terang menghina dan membenci ulama yang disegani bukan sahaja di Malaysia tetapi di luar negara.

PAS BERTANDING UNTUK MENANG BUKAN MAIN-MAIN

JASIN, 27 Feb — PAS Melaka menegaskan bahawa keputusan untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Merlimau adalah untuk menang, bukannya untuk berlatih atau menguji kekuatan jentera parti itu sebagaimana tuduhan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Haji Adly Zahari berkata PAS dan Pakatan Rakyat bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.
 
"Sebab itu kesungguhan kita, kalau kita lihat kesungguhan Pakatan Rakyat melalui program yang dianjurkan kita memberikan kesungguhan untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada Malaysiainsider.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Ali kelmarin yang menasihatkan PAS agar menyerah kalah dan menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau jika hanya mahu menjadikannya medan menguji kekuatan menghadapi pilihan raya umum.
 
Tegas Adly, PAS yang kini dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai pilihan raya dengan sasaran untuk menang dan merampas pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN).

“Mungkin tidak hari ini, kalau kita lihat di Ijok kita bertanding dalam pilihan raya kecil kita kalah tapi dalam pilihan raya umum kita menang dan sejauh mana kita boleh menang bergantung kepada usaha serta perancangan kita.

“PAS bertanding untuk menang, PAS tak bertanding semata-mata untuk bertanding... memang itu usaha kita sejak dari dulu, kalau kita bertanding semata-mata untuk bertanding, maka kita tak perlu nak bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Tapi disebabkan untuk menang... untuk raih sokongan rakyat... untuk beri kesedaran kepada rakyat kita letak diri untuk berdepan Umno-BN,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata penentu kepada kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil kawasan itu adalah undi orang Melayu yang merupakan majoriti di Merlimau.

“Sokongan undi penentu bagi saya adalah undi masyarakat Melayu jadi penentu kepada kemenangan, kalau ada sedikit perubahan dan anjakan masyarakat Melayu maka saya yakin kita akan capai kemenangan.
“Masyarakat Melayu tetap jadi asas kerana menjadi majoriti dan sudah pasti asas penentu kemenangan,” katanya.

Mengakui sokongan orang bukan Melayu terhadap PAS tidak begitu memberangsangkan, Adly bagaimanapun yakin jumlah itu akan meningkat pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 6 Mac ini.

“Kita mempunyai sokongan masyarakat Cina yang agak rendah pada pilihan raya umum 2008 dan kalau kita lihat trend pilihan raya kecil masyarakat Cina masih kekalkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

“Jadi kita punya keyakinan sokongan masyarakat Cina akan meningkat terutamanya di Merlimau, jadi kita boleh beri lebih tumpuan terutamanya kepada masyarakat Melayu supaya dapat salurkan maklumat kepada mereka,” katanya.

DUN Merlimau yang mempunyai 10,679 pengundi berdaftar, meliputi tujuh daerah mengundi iaitu Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Pecahan pengundi adalah Melayu seramai 6,935 orang (64.9 peratus), Cina seramai 2,218 orang (20.8 peratus), India seramai 1,510 orang (14.1 peratus) dan lain-lain seramai 16 orang (0.2 peratus).

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad dan calon PAS Yuhaizat Abdullah.
 
Sumber : Malaysiainsider

RAKYAT MESTI UNDI CALON PAS UNTUK NASIHAT KERAJAAN NEGERI

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata calon PAS yang bertanding pada pilihanraya kecil Merlimau mesti menang bagi membawa suara Islam dan menjadi penasihat kepada kerajaan negeri Melaka.

Menurut Ustaz Idris, calon PAS mestin menang bagi menjadi penasihat kepada kerajaan negeri dalam isu-isu melibatkan kedaulatan Islam dan Melayu.

" Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Melaka menggunakan wang zakat RM13.8 juta bagi membina  Kompleks MAI, penjualan Tanah Milik MAIM di lot 105 dan lot 106 pecahan kepada PT83 kepada pihak ketiga."

"MAIM  juga didapati telah menyerahkan Surat Hak Milik PT83 kepada Regal Merger Sdn Bhd (RMSB) pada 13 Oktober 2006, sedangkan mereka telah tahu bahawa RMSB telah gagal memajukan Kompleks MAIM mengikut perjanjian asal"

Idris mempersoalkan mengapa MAIM tidak mengambil tindakan undang-undang kepada RMSB. Apakah individu di dalam MAIM juga mempunyai kepentingan di dalam RMSB

Menurut Ustaz Idris terlalu banyak pembaziran  yang dilakukan oleh kerajaan negeri antaranya Litar Go-Kart (RM9.9juta), Eye On Malaysia (RM8juta), Monorail Melaka (RM16.5juta), Lapangan Terbang Batu Berendam (RM190 juta) dan sebagainya.

"Isu-isu pembaziran ini mesti diketengah kepada masyarakat dan di dala Dewan Undangan Negeri, Adun mesti menasihatkan kerajaan negeri dengan dalil dan hujah" ujar Ustaz Idris.

"Selain itu isu-isu melibatkan diskriminasi campurtangan politik dalam institusi masjid, surau, JKKK dan lain-lain."

"Semua AJK dan pegawai masjid mesti ahli Umno walaupun ada di kalangan mereka yang tidak berkelayakan dan melakukan perkara-perkara yang tidak sewajarnya dilakukan oleh pegawai-pegawai masjid." tambah Ustaz Idris.

Idris berkata semua isu-isu diatas adalah melibatkan isu agama dan Melayu dan ianya mesti dibawa oleh Adun yang beragama Islam kerana isu-isu melibatkan kaum lain dan isu-isu lain boleh di bawa oleh Adun-Adun PR lain yang berjumlah 5 orang.


Saturday, February 26, 2011

ALI RUSTAM PERSENDA WAKIL PERSATUAN CINA

Episod  cubaan 'merasuah' pengundi Cina seperti di Miri dalam PRK lalu berulang lagi di PRK Merlimau. Di Miri Perdana Menteri, Dato Seri Najib berkata dalam satu  ceramah kempen BN di Miri memberitahu pengundi dan penduduk Cina...' lu tolong gua dan gua tolong lu..."

Ketua Menteri Melaka, Dato seri Ali Rustam seperti  belajar dan meniru dari bossnya dengan hari ini memberitahu kepada wakil Persatuan Pendidikan Cina Progresif Melaka, Yang Ying Chong
dengan memberitahu kumpulan  berkenaan yang mewakili orang Cina Melaka bahawa beliau hanya akan membincangkan tuntutan mereka jika BN memenangi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Antara tuntutan kumpulan berkenaan ialah sekolah vernakular, sekolah Cina bebas dan sekolah agama rakyat diberi faedah yang sama seperti sekolah kebangsaan, iaitu menerima subsidi, bantuan untuk pelajar dan sijil untuk melanjut pengajian di universiti awam dan perkhidmatan awam.

Mereka juga menuntut kerajaan mengembalikan kewarganegaraan aktivis mendiang Lim Lian Geok dan menerimanya sebagai sebagai patriotik negara.

Inilah contoh seorang pemimpin Umno/BN yang bermuka-muka dan bersikap hipokrit untuk mendengar dan membincangkan masalah dan nasib rakyat. Apakah beliau fikir hanya orang Umno/BN sahaja yang menjadi pembayar cukai? Adakah beliau fikir  duit rakyat dan harta kerajaan  adalah milik Umno/BN? 

Tindakan Ali Rustam ternyata satu tindakan tidak matang dan  seperti mempersendakan orang Cina dan menafikan hak rakyat berbilang kaum di negara ini.  Sikap yang ditunjukkan menggambarkan watak sebenar pemimpin Umno yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk meraih undi dan menang dalam pilihanraya. Saya cukup  yakin pengundi dan penduduk di Merlimau cukup matang untuk menilai pemimpin yang bersikap talam dua muka ini.

PAS BERTANDING UNTUK MENANG BUKAN NAK UJI KEKUATAN

Pengarah Pilihanraya Pas, Dato  Halim Abdul Rahman telah menjelaskan dalam sidang akhbar kelmarin tidak wujud lagi kawasan selamat atau  kubu  bagi Umno. Penyertaan Pas di PRK Merlimau jelas iaitu akan berjuang habis-habisan untuk menawan kerusi DUN Merlimau.

Walau bagaimanapun Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Muhd. Ali Rustam masih tak faham atau sengaja buat tak faham tentang penyertaan Pas kononnya untuk menguji kekuatan. Saya mencabar Ali Rustam untuk menjelaskan siapa pimpinan Pas yang keluar kenyataan itu bila dan di mana?  Malah beliau bersikap kebudak-budakan apabila hari ini menyuruh Pas menarik diri dan menyerah kalah dengan beri kemenangan percuma kepada Umno/BN.

Apakah beliau cukup tertekan dan terdesak? Ramai pemerhati politik menyifatkan pertembungan di Merlimau bukan di antara Pas dan Umno tetapi lebih kepada usaha Ali Rustam menguji pengaruh dan populariti yang tercalar teruk. Beliau begitu bersungguh dan beria-ia dengan harapan namanya akan kekal pada penggal pilihanraya umum akan datang.

PRK Merlimau merupakan medan yang terbaik untuk pengundi Merlimau khasnya dan rakyat Melaka dan Malaysia amnya untuk menyampaikan mesej dan suara rakyat bahawa tidak ada tempat bagi pemimpin yang rasuah serta melakukan pembaziran serta salah guna duit rakyat. Mengundi Umno/BN di Merlimau seolah-olah rakyat merestui dan mengiktiraf kaki rasuah memimpin mereka.

Jadi tidak hairanlah selepas memfitnah bahawa Malaysia  akan jadi seperti Mesir jika Pas memerintah dan kini  Ali Rustam meminta pula Pas menarik diri dan menyerah kalah di Merlimau!

9.10 PAGI : BORANG CALON PAS SEDANG DIPROSES

Borang pencalonan calon PAS sedang diteliti, Haji Yuhaizad dan pencadangnya Mejar (B) Jasme serta penyokong sedang menunggu dengan sabar.

Penyokong PAS terus bertakbir, bernasyid dan sesekali melaungkan reformasi.

9.03 PAGI : CALON PAS MASUK DEWAN UNTUK SERAH BORANG.



Calon PAS, Haji Yuhaizad, pencadang dan penyokongnya telah masuk ke dewan menunggu isyarat untuk menyerahkan borang pencalonan.

8.35 PAGI : PERARAKAN BERMULA DENGAN JUMLAH PENYOKONG KIRA-KIRA 10 RIBU ORANG

Calon PAS, Haji Yuhaizad Abdullah dengan diiringi pimpinan PR bergerak dengan gagah ke pusat penamaan calon bersama kira-kira 10,000 penyokong.

8.25 PAGI : PENYOKONG BN BERSORAK KETIKA MELALUI MARKAZ INDUK PAS

Penyokong-penyokong BN yang sebahagian besarnya anak muda dan remaja bersorak-sorak ketika melintasi Markaz Induk PAS.

8.25 PAGI : PENYOKONG BN BERSORAK KETIKA MELALUI MARKAZ INDUK PAS

Penyokong-penyokong BN yang sebahagian besarnya anak muda dan remaja bersorak-sorak ketika melintasi Markaz Induk PAS.

8.15 PAGI : PENYOKONG PAS MULA BERGERAK



Penyokong PAS mula bergerak ke pusat penamaan calon dengan diketuai pimpinan utama PR antaranya Datuk Seri Wan Azizah, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan lain-lain

8.10 PAGI : CALON TIBA DIIRINGI 20 MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI



Calon PAS, Haji Yuhaizad Abdullah tiba dengan diiringi oleh 20 buah motosikal berkuasa tinggi.

8.05 PAGI : PIMPINAN PAS MULA TIBA

Beberapa orang pimpinan PAS terdiri dari Dato Mustafa Ali, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ustaz Azman Safawi telah tiba dan bersama-sama dengan penyokong PAS menunggu kehadiran pimpinan utama dan calon PAS untuk memulakan perarakan.

Helikopter Polis berlegar-legar di ruang udara Merlimau memantau perjalanan proses penamaan calon pagi ini.

LINTAS LANGSUNG 7.30 PAGI : PENYOKONG PAS/PR SEMAKIN RAMAI

Penyokong PAS dan PR semakin ramai berkumpul di Padang Estet Sime Darby. Kelihatan juga penyokong-penyokong yang baru sampai dari jauh dan dekat. Terdapat juga penyokong BN yang tersesat ke kawasan PAS.

PAS MELAKA DESAK ALI RUSTAM DISIASAT

PAS Negeri Melaka mendesak agar suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memulakan penyiasatan ke atas Datuk Sri Mohd Ali Rustam selaku Pengerusi MAIM dan Majlis Agama Islam (MAIM) diatas perkara-pekara berikut :

a ) Pengunaan wang zakat RM13.85 juta bagi membina Kompleks MAIM                     
 b ) Penjualan Tanah Milik MAIM di lot 105 dan lot 106 pecahan kepada PT 83 kepada pihak ketiga
 c)  MAIM juga didapati telah menyerahkan surat Hak Milik PT83 kepada RMSB pada 13 Oktober 2006, sedangkan mereka telah tahu bahawa RMSB telah gagal memajukan Komplejs MAIM mengikut perjanjian asal.
 d) Mengapa MAIM tidak mengambil tindakan undang-undang kepada RMSB. Apakah individu di dalam MAIM juga mmpunyai kepentingan di dalam RMSB


Adly Zahari
Timbalan pesuruhjaya 1 PAS MELAKA
                                                           

CALON PRK : UMNO BELAKANGKAN WANITA

Sudah 15 Pilihanraya Kecil berlangsung namun tidak satupun calon wanita Umno dipilih menjadi calon termasuklah untuk PRK Merlimau. Kalau sebelum ini Umno menghentam PAS kononnya PAS anti wanita dan meminggirkan wanita, namun ternyata Umno lah parti yang memandang sebelah mata kepada wanita. Bagi Umno wanita hanya layak menjadi tukang kempen rumah-rumah dengan program gelombang merahnya tidak lebih dari itu. Lebih teruk dari itu wanita bagi Umno hanyalah untuk menjadi tukang masak di bilik gerakan peti undi Umno.

Memang wajar wanita Umno bertindak dan bangkit memprotes tindakan kepimpinan Umno mengenepikan Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin dari menjadi calon BN di Dun Merlimau. Kepimpinan Umno langsung tidak menghargai jerih payah penat lelah wanita Umno berkempen dari rumah ke rumah.

Tindakan Wanita Umno menutup bilik gerakan mereka di Dun Merlimau merupakan tindakan yang wajar dilakukan demi maruah Wanita Umno keseluruhannya. Sepatutnya Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil mesti bertindak segera 'menghukum' kepimpinan Umno yang membelakangkan wanita di Merlimau. Seluruh jentera wanita dicadangkan supaya menutup bilik gerakan dan kembali ke rumah masing-masing melayan suami dan anak-anak. Itu lebih bermakna demi dari bersengkang mata, bersingsing lengan berkempen ke sana ke mari tetapi ianya di pandang sepi oleh kepimpinan Umno.


Friday, February 25, 2011

MALAYSIA JADI MESIR : ALI RUSTAM TAKUT PADA BAYANG-BAYANG SENDIRI

Ketua Menteri Melaka Dato Seri Muhd. Ali Rustam dalam satu kenyataannya hari ini memberitahu bahawa Malaysia akan jadi seperti Mesir jika Pas berkuasa. Ternyata kenyataan Ali Rustam satu ucapan yang tidak berpijak di bumi nyata. Adakah beliau mengikuti dan memahami kenapa rakyat Malaysia bangkit menumbangkan rejim Hosni Mubarak di Mesir?

Untuk makluman Ali Rustam kebangkitan rakyat Mesir berlaku kerana rakyat di negara itu sudah tidak dapat menanggung penderitaan sepanjang Hosni Mubarak memerintah Mesir selama lebih tahun.. Pemeritahan yang diselubungi dengan pelbagai penyelewengan dan salah guna duit rakyat. Rasuah berluasa, negara kaya tetapi rakyat hidup merempat dan melarat. Mungkin Ali Rustam lupa, bahawa beliau merupakan pimpinan Umno yang dilucutkan kelayakan bertanding sebagai Timbalan Presiden Umno tidak lama dulu. Puncanya, kerana rasuah! Hari ini rakyat Melaka didedahkan dengan pelbagai salah guna dan penyelewengan serta pembaziran duit rakyat di Melaka. Misalnya Litar Go Kart yang tak dapat digunakan, Eye On Malaysia yang kini hanya tinggal tapak, Monorail Melaka yang tersangkut di landasan hanya selepas lima jam dirasmikan dan lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam yang lebih banyak disinggahi burung daripada pesawat penumpang.  

Maka sebenarnya selagi Umno dibiarkan berkuasa dan terus memerintah rakyat akan terus derita dan sengsara seperti yang berlaku di Mesir. Pemimpin Umno/BN mengamalkan gaya hidup mewah dan membazir ketika rakyat terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup. Sebenarnya Ali Rustam cuba menutup segala penyelewengan, salah guna kuasa dan pembaziran dengan cuba menunding jari kepada Pas yang akan berdemontrasi apabila memerintah.  

Tidak ada sebab rakyat nak berdemontrasi seperti di Mesir jika pemimpin yang memerintah adil dan saksama serta melaksanakan amanah kepimpinan. Rakyat akan bangun berdemontrasi jika merasakan diri mereka dizalimi dan dianiaya serta pemimpin melakukan penyelewengan dan pembaziran. Rakyat pasti akan berdemontrasi jika pemimpin melakukan rasuah dan skandal seperti demontrasi rakyat Melaka tidak lama dulu apabila perasuah seperti Ali Rustam masih dibiarkan terus berkuasa. Sebenarnya kenyataan Ali Rustam adalah disebabkan takut pada bayang-bayangnya sendiri!

RAKYAT SOKONG PAS BERTANDING UNTUK BETULKAN KEPINCANGAN

Merlimau : Seorang pesara kerajaan Yusof Wahab, 55 berkata beliau bersetuju dengan keputusan PAS meletakkan calonnya bertanding pada pilihanraya kecil Dun Merlimau bagi memperbetulkan kepincangan dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka selama ini. Kalau sebelum ini tiada siapa yang mampu menasihatkan kerajaan negeri dalam isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan orang Melayu.

"Kita sangat menyanjung tinggi peranan yang dimainkan Wakil Rakyat PR dalam Dun Melaka khususnya yang berkaitan dengan pembaziran dan penyelewengan, namun mereka seringkali dipermainkan oleh Ketua Menteri jika mereka cuba bertanya dan menyoal kerajaan negeri dalam isu Islam dan melayu".

"Oeh itu sangat penting bagi PAS untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang wakil rakyat PAS dapat masuk ke dalam DUN untuk menasihati, membedah dan membongkar segala penyelewengan kerajaan BN dalam isu-isu berkatitan dengn Islam dan Melayu" kata Yusof ketika ditemui di Pejabat Penerangan DUN Merlimau di Taman Muhibbah dekat sini petang ini.

Rakan beliau, Abu Siraj Andri, 35 berkata kerajaan negeri ternyata boleh bertindak sesuka hati kerana mereka tidak mempunyai penasihat dan pembangkang yang berani menyuarakan isu-isu yang berkaitan dengan Islam dan Melayu.

"Saya lihat di Melaka ini terlampau banyak pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan negeri, tetapi tiada 'check balance'" kata Abu Siraj.

WANITA UMNO JASIN TUTUP BILIK GERAKAN DI MERLIMAU

Menjelang hari penamaan calon PRK Merlimau esok, Umno mengalami tsunami politik apabila Wanita Umno Jasin menutup bilik gerakan mereka di Taman Merlimau Jaya. Tindakan ini diambil kerana kecewa wakil Wanita Umno tidak dipilih menjadi calon untuk PRK Merlimau.

Sebaliknya Umno memilih Roslan Ahmad  sebagai calon BN yang kurang dikenali dan popular di kalangan pengundi di situ. Perkara ini disahkan oleh Ketua Wanita Umno Jasin, Zaleha Bujang yang mengatakan bahawa beliau merasa tersinggung kerana pemilihan Roslan Ahmad menunjukkan pucuk pimpinan Umno mengenepikan sumbangan dan peranan wanita.

Menurut beliau lagi ini menunjukkan bahawa suara Wanita Umno tidak didengari oleh pimpinan Umno berbanding dengan Pakatan Rakyat seperti di PRK Tenang yang mengangkat martabat wanita dengan memilih bekas guru Normala Surdiman sebagai calon. 

Beliau juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila kesungguhan Wanita Umno Jasin melancarkan "Gelombang Merah Wanita' yang menyasarkan 5000 petugas Wanita di Merlimau tidak dipedulikan oleh pimpinan Umno.  Menurut beliau lagi sepanjang 15 PRK pasca pilihanraya ke 12 tidak ada seorang pun wakil di kalangan Wanita Umno dan BN  dipilih menjadi calon berbanding dengan Pakatan Rakyat.

Kepada pengundi Merlimau, inilah watak sebenar Umno yang bercakaran dan berebut sesama sendiri untuk menjadi calon yang lebih kepada kepentingan peribadi dan mempunyai agenda tertentu. Inikah tradisi membela rakyat yang mereka slogankan selama ini? Adakah ini yang dinamakan rakyat didahulukan? Berbeza dengan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat sama ada sayap Pemuda dan Muslimat dan komponen Pakatan Rakyat  yang terdiri daripada PKR dan DAP yang sentiasa meletakkan agenda membela nasib rakyat dan keadilan serta membawa perubahan politik dan ekonomi sebagai teras perjuangan.  Pendedahan Ketua Wanita Umno Jasin ini sekali gus mendedahkan tembelang sebenar Umno/BN yang kononnya sentiasa berganding bahu dan berpegang teguh kepada pucuk pimpinan. 

Walau bagaimanapun kepada semua petugas PAS dan Pakatan Rakyat tidak mudah leka dan terbuai-buai dengan pergolakan yang berlaku dalam Umno di Merlimau sebaliknya terus meningkatkan momentum dan gerak kerja untuk menwan hati pengundi serta membawa mesej yang lebih besar bukan sahaja untuk PRK Merlimau tetapi dalam gagasan  yang lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke 13.

Thursday, February 24, 2011

HAJI YUHAIZAD CALON PAS DUN MERLIMAU

PAS malam ini memilih Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Jasin, Haji Yuhaizad Abdullah calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac ini.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di hadapan lebih 6,000 penyokong PAS dan PR di Dataran  Markas PAS DUN Merlimau.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad  adalah juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka.
Pemilihan anak jati  Kampung Chinchin yang terletak di dalam DUN Merlimau yang berkelulusan Diploma Tasawur Islam  itu dipercayai mampu memberikan tentangan sengit kepada BN yang sememangnya begitu yakin dapat mempertahankan kerusi Merlimau.
Beliau dilahirkan dalam keluarga yang disegani di mana datuk sebelah ibunya adalah seorang Imam dan datuk sebelah ayahnya adalah Tok Sidang di kampungnya.
Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi  ketika mengumumkan calon PAS itu, berkata pemilihan Yuhaizad dibuat selepas melalui beberapa saringan di peringkat badan perhubungan PAS  negeri, Jawatankuasa Pusat sebelum diputuskan pucuk pimpinan.

“Kita yakin calon kita mampu memberikan tentangan sengit dan jika terpilih beliau akan bertindak sebagai pembangkang yang berkesan," kata Abdul Hadi.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 58, dari BN pada awal Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Hidhir menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang, dengan majoriti 2,154 undi.


DINASTI CALON DALAM BN : KECEWA DALAM SUKA?

Kini menjadi trend dinasti dalam BN untuk memilih anak-anak bekas Yang Berhormat sama ada  ayah-ayah mereka dahulu  sebagai bekas Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Terkini calon BN di N27 Merlimau ialah Roslan Ahmad, Allahyarham bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin ialah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Melaka (Adun) Sungai Rambai (1969-1978) yang setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya dinamakan DUN Merlimau. Bapa saudaranya pula ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga pernah dipilih sebagai Adun kawasan itu selama tiga penggal (1986-1999).

MUHYIDDIN CUBA NAFIKAN TREND DINASTI CALON UMNO
Muhyiddin turut menolak andaian pemilihan Roslan juga seolah-olah mewujudkan trend dinasti di kalangan pemimpin politik bahagian kerana sebelum ini pada pilihan raya kecil DUN Tenang, calon BN juga adalah bekas anak wakil rakyat di situ.
 
Kalau begitu mestilah calon-calon yang memegang jawatan tertinggi di peringkat bahagian akan merasa berkecilhati kerana usaha mereka selama ini untuk menaikkan nama parti langsung tidak dihargai oleh golongan atasan parti. Alasan mereka, calon yang dipilih adalah calon yang diyakini menang, itulah alasan yang digunapakai semasa di Tenang. Kesian orang kuat UMNO di bahagian Tenang dan Merlimau.
 
Kepada semua anak-anak YB bersiap sedialah untuk dipilih menjadi calon UMNO atau BN dalam PRU13 yang akan datang. Paling tidakpun jadilah AJK mana-mana cabang parti sama ada Pemuda ke, Wanita ke, atau AJK Bahagian pun sudah memadai. Tak perlulah berkempen sampai menghabiskan duit jutaan ringgit untuk merampas jawatan Ketua Bahagian Umno, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan sebagainya kerana jawatan tersebut bukan menjadi merit kepada pemilihan calon Umno masa kini.
 
 

CALON MERLIMAU : ROSLAN VS KINTAN?

BN sudah menamakan calonnya iaitu anak kepada bekas Adun dan Ketua  Menteri Melaka iaitu Roslan Ahmad. Seorang yang dikatakan berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan  dan berjawatan Pengurus di agensi kerajaan negeri.

Menurut makluman dalaman Umno, beliau dipilih berdasarkan latarbelakang keluarganya di mana ayahnya Datuk Ahmad Ithnin adalah bekas Adun Sungai Rambai dan bapa saudaranya Abu Zahar Ithnin adalah bekas Ketua Menteri Melaka. Nampaknya  Umno/BN tidak terlepas dari sifat mereka iaitu mengamalkan kronisme dan nepostisme. Kalau di Tenang mereka memilih anak bekas Adun di Merlimau juga mereka mempertahankan perkara yang sama. Ramai dikalangan penyokong dan ahli Umno tidak selesa dengan sikap pemimpin Umno ini.

Calon PAS pula akan diketahui malam ini. Calon 'favourite' PAS Hajah Kintan Man sudah lama bersedia untuk menggalas amanah sebagaimana yang dilakukan oleh Cikgu Normala Sudirman di Tenang. Dalam kenyataan media beberapa minggu lalu, Kintan dengan semangat berkata muslimat PAS bersedia bila-bila masa untuk menyedarkan rakyat melalui kaedah penerangan dan ziarah rumah ke rumah.

Selain Kintan, PAS juga mempunyai calon berpotensi lain seperti Yang DiPertua PAS Kawasan Jasin, Mejar (B) Jasme Tompang dan Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Jasin, Ustaz Kamaruddin Sidek yang juga merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Selain itu Dewan Pemuda juga menamakan dua orang pimpinan pemuda dari Jasin.

Apakah benar ramalan pemerhati politik bahawa Roslan vs Kintan, malam ini kita akan mengetahuinya.

Wednesday, February 23, 2011

PAS PILIH CALON ANAK TEMPATAN DAN DIKENALI RAMAI, BN PILIH ROSLAN AHMAD SEBAGAI CALON

Sebagaimana biasa PAS akan memilih tempatan dan dikenali ramai pada setiap kali pilihanraya. Begitu juga di Merlimau PAS dijangka memilih calon yang mempunyai sifat sedemikian.

Maklumat yang diperolehi menunjukkan bahawa kesemua calon yang disenaraipendek oleh pimpinan PAS pusat adalah anak tempatan dan mampu membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Melaka.

Malam esok PAS akan mengumumkan nama calon pada satu majlis di Dataran Markaz PAS Durian Tunggal. Pemerhati politik di Melaka meramalkan PAS akan meletakkan samada Hajah Kintan Man, Ustaz Kamaruddin Sidek atau Mejar (B) Jasme Tompang sebagai calon mereka bagi membawa cabaran kepada BN.

Kintan yang merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka dikatakan sebagai calon 'favourite'. Kamaruddin adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri dan Jasme yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka dan Yang DiPertua PAS Kawasan Jasin juga dikatakan berpeluang berdasarkan pengalaman dan ketokohan mereka di peringkat kawasan dan negeri. Ketiga-tiga mereka berasal dari Jasin.

Sementara itu BN hari ini menamakan Pengurus Pembangunan Perniagaan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, Roslan Ahmad sebagai calonnya bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Melaka kawasan Merlimau 6 Mac ini.

Pemilihan Roslan, 44, yang juga ahli jawatankuasa Umno Bahagian Jasin diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pekan Merlimau, Melaka sebentar tadi.


Pilihan raya kecil Merlimau diadakan setelah kematian penyandangnya, Allahyarham Mohd Hidhir Abu Hassan akibat serangan jantung pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohd Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang.

SPR sebelum ini menetapkan pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan pada 6 Mac ini, manakala tarikh penamaan calon bagi adalah pada 26 Februari ini.

Bilik Operasi Pemuda dirasmikan petang ini

Bilik Operasi Dewan Pemuda PAS akan dirasmikan oleh Ustaz Azman Shapawi. Perasmian itu akan berlangsung jam 5.30 petang ini di pekan Merlimau.

Tarikh: 23 Feb 2011
Masa: 5.30 petang
Tempat: Pekan Merlimau

Tuesday, February 22, 2011

PETA PERARAKAN PENAMAAN CALON 26 FEB

Klik pada imej di sebelah untuk peta yang lebih besar dan jelas

BERI PELUANG PR PERINTAH 100 HARI : Ust.Idris Ahmad


Ketua Penerangan PAS Ustaz Idris Ahmad mencabar BN supaya memberi peluang kepada PAS memerintah 100 hari bagi membuktikan segala janji-janji yang digariskan dalam dokumen BUKU JINGGA oleh Pakatan Rakyat.

"PAS mencabar pemimpin BN beri peluang kepada Pakatan dahulu. Beri masa 100 hari kepada kami untuk membuktikan janji Pakatan bukan palsu atau angan-angan," katanya.

"Selepas ini kita akan dengar jawapan daripada pemimpin BN yang resah dengan cadangan yang dibuat di konvensyen dengan tuduhan ini hanya angan-angan Pakatan." ujar Idris.

Berucap sebagai penceramah utama di Unit Peti Undi Kg.Ayer Merbau,Merlimau, Jasin malam tadi, beliau juga menyeru semua pengundi di Dun Merlimau agar memberikan kepercayaan dengan mengundi bakal calon PAS sebagai simbolik tentangan kepada pemerintahan yang sekular dan mengkhianati bangsa Melayu.
 
Kehadiran yang amat memberangsangkan malam tadi di UPU Kg.Ayer Merbau memberikan petunjuk trend sambutan terhadap mana-mana ceramah yang dianjurkan PAS di Merlimau yang bertambah mendapat sambutan yang menggalakkan. Walaupun markaz BN terletak bersebelahan dengan tampat ceramah namun ia tidak menganggu semangat perjuangan para petugas dan penduduk kampung serta pengundi yang khusyuk mendengar segala penjelasan isu-isu semasa oleh semua penceramah di medan PAS. (mzz)
 

UMNO/BN LESAPKAN DUIT RAKYAT GUNA PREMIS AWAM

NONEKetua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab berkata Umno/BN terus menerus melesapkan duit rakyat dengan menggunakan premis awam seperti Politeknik, Sekolah, Balai Raya dan lain-lain untuk kegunaan parti tanpa sebarang bayaran.

Yusof berkata tindakan Umno/BN ini memang tidak bertanggungjawab kerana premis tersebut adalah untuk kegunaan awam dan dibina dengan duit rakyat.

"Mereka guna kemudahan awam, elektrik, air dan alatan lain digunakan tanpa sesen bayaran, mereka buat semua itu macam harta mereka sendiri".

"Sebagai rakyat yang membayar cukai kita sewajarnya menentang tindakan Umno/BN ini supaya rakyat faham dan bangkit menolak pemimpin yang tidak tahu halal haram ini" ujar Yusof.

Menurutnya, sudah beberapa kali Umno/BN menggunakan Politeknik Merlimau untuk program parti antaranya program perkenalan antara bapa angkat dan anak-anak angkat peti undi serta juga program melibatkan menteri-menteri dan kursus-kursus parti.

"Kami menyokong penuh tindakan PAS Kawasan yang membuat laporan Polis supaya Pengarah Politeknik Merlimau disiasat kerana membenarkan Politeknik itu digunakan Umno/BN".

"Mereka secara terang-terang menggunakan harta rakyat dan awam untuk kepentingan politik mereka" tambah Yusof.

"Saya mencabar Pengarah Politeknik Merlimau supaya meletakkan jawatan dan masuk bertanding sebagai calon BN atau jika tidak terpilih sebagai calon BN masuk sebagai calon bebas jika beliau benar-benar minat hendak berpolitik" tegas Yusof.

Sementara itu Malaysiakini melaporkan bahawa PAS Kawasan Jasin diketuai Yang DiPertuanya, Mejar (B) Jasme Tompang pagi tadi membuat laporan Polis meminta Pengarah Politeknik Merlimau disiasat berhubung tindakannya membenarkan Umno/BN menggunakan institusi pendidikan untuk program Umno/BN.

Jasme dalam kenyataannya kepada media berkata, PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan yang tidak bertamadun oleh Umno dan BN, sekali gus mahu parti itu menghentikan segera semua program yang berjalan atau akan dijalankan di situ.

Dakwanya, tindakan itu tidak adil kepada PAS dan Pakatan Rakyat yang tidak dibenarkan menggunakannya.

"Kami mahu pihak berkuasa menyiasat sekiranya wujud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa ke atas Pengarah Politeknik Merlimau, Dr Arshad Kassim yang membenarkan program Umno dan BN diadakan di situ.

"Para pelajar juga terganggu dari segi emosi, pembelajaran, keselamatan dan sebagainya disebabkan kehadiran ramai orang yang tidak dikenali bebas keluar masuk ke dalam kawasan politeknik itu," laporan polis itu dipetik.

Turut mengiringinya ADUN DAP Ayer Keroh Khoo Poay Tiong, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin, Aminuddin Abdul Jalil, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin, Hajah Shopiah Ahmad dan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) PAS Jasin.